Bunyi bising, jalan sesak, YPNM desak tindakan segera 

PENAMPANG: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap aduan penduduk berhubung gangguan bunyi kerja pembinaan pada waktu malam serta masalah kesesakan jalan di kawasan projek.

Pengerusinya, David Chan, berkata aduan yang diterima menunjukkan kerja pembinaan dijalankan sehingga awal pagi, sekali gus menjejaskan ketenteraman penduduk.

“Ramai ibu bapa mengadu anak-anak mereka tidak dapat tidur dengan lena akibat bunyi bising sehingga menjejaskan tumpuan di sekolah pada keesokan harinya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan pemaju wajar menyusun jadual kerja dengan lebih sistematik dan mengelak menjalankan kerja berat pada waktu malam bagi menjaga kesejahteraan masyarakat.

Katanya, YPNM memandang serius perkara itu dan menggesa Majlis Daerah Penampang (MDP) melakukan siasatan segera, selain meminta pemaju menstruktur semula jadual pembinaan mereka.

Selain bunyi bising, David berkata projek berkenaan turut menambah kesesakan jalan raya apabila laluan sedia ada yang sudah mencapai kapasiti maksimum terpaksa menampung kenderaan pembinaan.

Sehubungan itu, beliau mendesak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak perancang bandar meneliti semula aliran trafik supaya pembangunan baharu tidak menambah beban terhadap rangkaian jalan raya sedia ada.

“Pembangunan tidak boleh hanya menumpukan keuntungan ekonomi, tetapi mesti mengambil kira keselamatan serta kualiti hidup penduduk. Suara pengguna tidak boleh dipandang ringan,” katanya.