Bung Moktar sifatkan perbuatan rampas ahli parti lain disifatkan hilang keyakinan perjuangan

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyifatkan perbuatan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) merampas ahli dan pemimpin parti lain termasuk dalam gabungan sendiri adalah tidak bermoral, tiada integriti serta telah hilang keyakinan dalam perjuangan.

Beliau berkata Adalah jelas ia berlaku hampir di kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dii Sabah.

“Kerja pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak ada lain kecuali merampas ahli dan pemimpin dalam kerajaan GRS sendiri.

“Pada saya ini adalah perbuatan yang tidak betul, tidak bermoral, tidak berintegriti dan hilang keyakinan dalam perjuangan,” katanya dalam satu hantaran di facebook beliau, hari ini.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Ruslan Muaharam yang mendedahkan perbuatan beberapa parti dalam GRS merampas ahli parti komponen dan mahu ia dihentikan kerana tidak menghormati semangat setia kawan.

Menurut beliau, tindakan sedemikian telah berlaku dan boleh menyebabkan perpecahan dalam gabungan tersebut.

Ruslan juga mendakwa tindakan itu membabitkan perbuatan merasuah ahli parti lain terutama ketua cawangan dengan tawaran jawatan untuk menarik mereka.

Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag itu bersetuju dengan saranan Ruslan supaya perbuatan merasuah ahli dan pemimpin parti lain agar menyertai Gagasan Rakyat dihentikan kerana perjuangan seperti itu tidak memberi jaminan yang Gagasan Rakyat boleh memenangi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Katanya, Gagasan Rakyat seharusnya ingat parti yang ditubuhkan atas dasar paksaan dan pembelian melibatkan kewangan dan tawaran jawatan tidak akan bertahan lama.

“Saya masih ingat pada masa lalu, perkara sebegini pernah berlaku semasa parti BERJAYA memerintah negeri di mana parti itu telah berjaya membeli dan merasuah hampir semua ahli dan pemimpin parti lain tetapi akhirnya kerajaan BERJAYA tumbang juga,” tegas Bung Moktar.