Mencuri ahli dalam gabungan parti tidak bermoral dan berintegriti, harus dihentikan – Suhaimi

KOTA KINABALU: Pendedahan yang dibuat oleh Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Ruslan Muharam mengenai tindakan beberapa parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencuri ahli sesama dalam gabungan membuktikan sindiket tidak bermoral dan berintegeriti itu benar-benar wujud.

Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir berkata, perkara tersebut memang tidak dapat disangkal, malah UMNO adalah parti yang menjadi mangsa kecurian ahli-ahlinya sejak Parti Priibumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengembangkan sayapnya ke Sabah, ramai ahli-ahli UMNO tanpa sedar nama mereka telah  didaftarkan menjadi ahli parti tersebut.

Menurut Suhaimi, kenapa perkara ini berlaku kebanyakan mereka yang menyertai BERSATU adalah dari kalangan pemimpin UMNO dan apabila terdesak  mencari ahli untuk membuka cawangan dan  bahagian jalan mudah ialah mencuri senarai ahli-ahli UMNO yang sedia ada yang lengkap dengan nombor kad penganalan dan alamat untuk didaftarkan menjadi ahli parti mereka.

Tambah Suhaimi yang juga Ketua Bahagian UMNO Libaran, perkara ini berlarutan sehingga GRS ditubuhkan kerana pemimpin yang lompat melompat parti ini, asalnya dari UMNO, BERSATU dan kemudian ke GRS.

“UMNO termasuk PBS merupakan sebuah parti yang telah berakar umbi dan merupakan sebuah organisasi parti yang lengkap termasuklah daftar keahlianya yang  tersusun memudahkan sindiket mencuri keahlian, berbanding dengan GRS, parti yang baru setahun jagung yang sememangnya sukar mencari ahli.

“Justeru jalan mudah mencuri keahlian parti lain untuk didaftarkan menjadi ahli parti mereka” jelas Suhaimi.

Suhaimi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ruslan yang juga Ketua PBS Bahagian Lumadan yang meminta tindakan beberapa parti dalam GRS agar berhenti merampas anggota parti dalam kompenan yang dianggap tidak menghormati semangat setia kawan.

Menurut beliau tindakan tersebut telah berlaku dan boleh menyebabkan perpecahan dalam GRS.

Beliau mendakwa tindakan itu juga turut melibatkan perbuatan “merasuah” ahli parti lain terutama ketua cawangan dengan jawatan untuk menarik mereka

Suhaimi turut mengakui wujud perbuatan merasuah kepada ahli-ahli UMNO agar menyertai GRS dengan menjanjikan pelbagai imbuhan termasuk jawatan, malahan mana-mana ahli UMNO yang sebelum ini berjawatan lantikan politik dan enggan menyertai GRS jawatan mereka akan dilucutkan.

“Perkara ini berlaku hampir di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri bagi ahli-ahli UMNO yang setia dan enggan menyertai GRS mereka telah pun dipecat dari jawatan yang mereka sandang sebelum ini dan digantikan dengan pemimpin atau ahli GRS ” jelas Suhiami.

Ketika diminta  mengulas kenyataan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Lumadan Mazlan Joehari Manan masalah seperti itu boleh dielakkan sekiranya ahli bersikap telus mengenai status keahlian mereka, Suhaimi berkata ini bukan soal ketelusan ahli tapi soal pemimpin GRS yang tidak telus dan   mencuri nama ahli diluar pengetahuan mereka untuk didaftarkan menjadi ahli GRS.

“Mereka sendiri memang  tahu parti mana yang mereka sertai, namun diluar sedar mereka tanpa mengisi borang keahlian, nama mereka sudah ada dalam senarai ahli GRS,  ini sudah tentu dilakukan oleh pemimpin parti GRS yang berkepentingan,” jelas Suhaimi.

Kecewa dengan perbuatan ini, Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata, perbuatan mereka ini tidak bermoral, tiada integriti serta telah hilang keyakinan dalam perjuangan.

Menurut Suhaimi, mengikut data Suruhanjaya Pilihanraya Sabah, sekitar 1.8 juta orang layak mengundi dan yang mendaftar sebagai ahli parti sekitar 800,000 orang.

Ini membuktikan masih ramai yang belum menjadi ahli mana-mana parti yang seharusnya disasarkan oleh GRS untuk menyertai parti mereka bukannya mengambil jalan mudah  mencuri ahli parti lain untuk didaftarkan  menjadi ahli mereka, katanya.

“Ini juga membuktikan bahawa parti setahun jagung GRS tidak mendapat sokongan dari rakyat terutamanya anak-anak muda disebabkan kepimpinan yang ada adalah dari kalangan pemimpin yang suka melompat parti dengan hala tuju perjuangan yang tidak jelas menyebabkan keyakinan rakyat menyertai parti mereka hambar,” tambah Suhaimi.