Bot berlanggar : Operasi kesan dua penumpang hilang memasuki hari ketiga

SEMPORNA : Dua lelaki warga asing masih hilang serta seorang lagi parah selepas bot dinaiki dilanggar dengan sebuah bot lain di sekitar perairan Pulau Sebangkat, di sini, kelmarin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 6 pagi itu di mana bot dinaiki empat lelaki masing-masing berusia lingkungan 30-an itu dilanggar sekali gus menyebabkan dua daripada mereka hilang dan seorang lagi parah.

Katanya, bagaimanapun individu yang terlibat melanggar bot mangsa kemudiannya bertindak melarikan diri.

“Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu diaktifkan untuk Operasi mengesan serta Menyelamat (Op Carilamat).

“Bot Bangi 11 dan Bot Adal 18 dari Zon Maritim Semporna digerakkan di tempat kejadian bagi membantu operasi menyelamat mangsa selepas menerima maklumat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amir berkata, maklumat awal mendapati bot dinaiki empat mangsa berkenaan dikatakan keluar ke laut pada jam 5 petang, Isnin lalu.

“Dua penumpang terselamat manakala salah seorang mangsa mengalami kecederaan di lengan, lutut serta bahagian belakang, kini mendapatkan rawatan di wad kecemasan Hospital Semporna.

“Dua lagi penumpang masih hilang dan operasi yang memasuki hari ketiga kini diperluaskan kepada lima
sektor dengan penambahan radius kawasan kepada 27 batu nautika persegi,” jelas Amir.

Menurutnya, operasi turut dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Taman – Taman Sabah.