BN nafi kenyataan 40 Ahli Parlimen sokong Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menafikan ada mengeluarkan kenyataan kononnya 40 Ahli Parlimen parti itu menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Eksekutifnya, Mohamad Sahfri Ab Aziz, sebaliknya berkata surat yang memaparkan logo dan alamat pejabat parti BN seperti yang tular di media sosial ketika ini adalah palsu.

“Ibu Pejabat BN menafikan mengenai kewujudan surat yang menggunakan logo dan alamat pejabat parti seperti yang tersiar dan tular ketika ini.

“Sebarang kenyataan rasmi parti hanya dikeluarkan melalui pengerusi atau setiausaha agung parti dan ia hanya dikeluarkan melalui saluran rasmi komunikasi parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Melalui kenyataan palsu itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menyatakan kononnya seramai 40 Ahli Parlimen BN menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Ia susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dilaporkan berkata Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan.