Bertembung di Jalan Telisai, Lelaki Meninggal Dunia

BELURAN: Seorang lelaki dewasa maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Telisai Sapi Nangoh, di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.57 tengah hari itu, kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux dan Toyota Unser yang bertembung, menyebabkan enam mangsa terperangkap dan cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, PPgB Edoen Macheal berkata, sepasukan tujuh anggota bomba dikerahkan ke lokasi sejauh 45 kilometer dari balai dan tiba pada jam 1.38 petang.

Menurutnya, empat mangsa yang menaiki Toyota Hilux termasuk dua orang dewasa dan dua kanak-kanak hanya mengalami kecederaan ringan.

“Dua lagi mangsa yang berada dalam Toyota Unser membabitkan seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa. Lelaki terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Manakala wanita berkenaan mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Beluran menggunakan ambulans KKM untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.56 petang selepas keadaan disahkan selamat.

Operasi menyelamat turut dibantu enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga petugas KKM.