KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT) Datuk Dr Puad Zarkashi mendakwa Bersatu tidak berani keluar dari kerajaan dan takut sekiranya pilihan raya umum (PRU) diadakan lebih awal.
Beliau merujuk kenyataan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mendakwa beliau tidak mahu rakyat terkorban dengan langkah bodoh Bersatu keluar daripada kerajaan.
“Sebenarnya rakyat sudah ramai terkorban kerana PKP (perintah kawalan pergerakan) separuh masak oleh PM ke-8.
“Mereka hilang perniagaan, hilang pekerjaan, hilang pendapatan dan ada yang bunuh diri,” katanya dalam laporan FMT hari ini.
Puad berkata, Bersatu sebenarnya tidak akan berani keluar dari kerajaan.
“Tekan butang hanya ugutan. Jawatan Menteri adalah talian hayat Bersatu. Keluar kerajaan memang ‘langkah bodoh’ untuk mereka.
“Bersatu sebenarnya takut PRU awal. Apakah tumbangkan kerajaan sendiri (22 bulan) dan langkah Sheraton bukan langkah bodoh yang bunuh rakyat? Maka apakah kamu bertanggungjawab?” soal Puad.
Terdahulu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata sekiranya gabungan parti itu keluar daripada kerajaan sekarang, ia hanya akan menyebabkan rakyat lebih menderita disebabkan Covid-19.
Muhyiddin turut yakin dalam keadaan pandemik rakyat tidak mahu berhadapan PRU15.
“Dalam keadaan pandemik, kalau tanya sini siapa yang nak tengok PRU? I just want to ask you, media. (saya nak tanya pemberita).
“Dalam situasi yang tak berapa orang kata menyeronokkan, tetapi kerana Bersatu memikirkan tentang kepentingan rakyat, kepentingan negara, supaya jangan rakyat terkorban disebabkan langkah bodoh kita,” katanya.