Belanjawan Sabah 2025 buktikan komitmen kerajaan kukuhkan kewangan negeri ini – Nizam

KOTA KINABALU : Belanjawan Sabah 2025 berjumlah RM6.421 bilion mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengukuhkan kedudukan kewangan negeri ini.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ini secara tidak langsung memperlihatkan keprihatinan terhadap keperluan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat.

Katanya, Belanjawan Sabah 2025 ini membuktikan kejayaan Kerajaan GRS PH Plus dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengutamakan rakyat Sabah.

“Di bawah kepimpinan Hajiji kerajaan negeri berjaya mencapai tahap kewangan stabil dan mampan, sambil melaksanakan pelbagai program untuk mempertingkatkan kualiti hidup rakyat Sabah.

“Ia merupakan pengiktirafan kepada kepimpinan berwawasan dan dedikasi tinggi disamping keberhasilan dapat dicapai melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dirangka kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nizam merupakan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, pelan ini terbukti berkesan dalam merancakkan pembangunan negeri Sabah dari pelbagai sudut, termasuk pendidikan, ekonomi, infrastruktur serta kesejahteraan sosial.

“Melalui pelan ini, kerajaan negeri berjaya memfokuskan usaha memperkukuh asas ekonomi negeri, disamping memperbaiki akses kepada pendidikan dan kesihatan, sekali gus meningkatkan kemudahan infrastruktur untuk manfaat rakyat Sabah secara keseluruhannya.

“Kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada sektor pendidikan melalui peruntukan RM127 juta untuk program biasiswa, dermasiswa, dan bantuan pelajar negeri, yang bakal memanfaatkan lebih 10,000 pelajar termasuk pelajar baharu,” jelas Nizam.

Menurutnya, bantuan seperti SENTOSA, BUDI, SUBFLY, dan SUKSES membuktikan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan akses pendidikan secara inklusif serta menyeluruh, terutama bagi anak-anak Sabah yang menuntut ilmu di dalam dan luar negeri.

“Dalam aspek pemberdayaan wanita, peruntukan sebanyak RM9.73 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan RM11.6 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) merupakan langkah signifikan dalam memperkasa wanita melalui program keusahawanan, kesedaran gender, serta geran kepada NGO wanita.

“Saya memuji usaha kerajaan untuk mensejahterakan rakyat melalui program kebajikan seperti Program Sentuhan Kasih Rakyat yang menyediakan bantuan bulanan RM300 selama setahun, dan pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra SMJ dengan peruntukan RM250 juta,” kata Nizam.

“Bantuan tunai kepada peniaga kecil serta peruntukan khas bagi pembangunan luar bandar turut menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan semua golongan rakyat mendapat manfaat langsung.

“Belanjawan ini menonjolkan pengurusan hasil negeri yang cekap, dengan unjuran pendapatan RM6.445 bilion yang sebahagian besarnya bakal disumbangkan oleh peningkatan harga minyak mentah dan minyak sawit mentah,” tambahnya.