TAMBUNAN: Bekas Timbalan Pengerusi Parti Maju Sabah (SAPP) Tambunan, Geoffrey Yong bersama isterinya, Ervena Joan, mengumumkan keluar daripada parti itu selepas lebih 30 tahun berjuang dan kini menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).
Geoffrey berkata, keputusan itu dibuat selepas melihat kepimpinan Ketua Bahagian PGRS Tambunan, Datuk Victor P. Paut, yang disifatkannya membawa hala tuju baharu dan semangat segar dalam politik daerah berkenaan.
“Saya dan isteri memilih untuk menyertai PGRS kerana yakin dengan perjuangan Victor.
“Beliau memberi nafas baharu dalam politik Tambunan dan benar-benar mendengar suara rakyat,” katanya pada majlis penyerahan borang keahlian di sini, semalam.
Borang keahlian pasangan itu diterima oleh Naib Ketua Bahagian PGRS Tambunan, Hussein Hassan, disaksikan Ahli Jawatankuasa Bahagian, Sylvester Yapas, Aziz Banting serta barisan kepimpinan tempatan lain.
Langkah Geoffrey meninggalkan SAPP selepas tiga dekad dilihat sebagai isyarat perubahan sokongan politik di Tambunan, yang sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Kepimpinan Victor yang aktif turun padang mendengar masalah rakyat serta fokus terhadap pembangunan luar bandar menjadi faktor utama menarik sokongan baharu kepada PGRS, sekaligus memberi petanda landskap politik Tambunan semakin berubah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
