Bekas Pengerusi Mara Inc mengaku tidak bersalah

KOTA KINABALU: Bekas Pengerusi MARA Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) Datuk Mohammad Lan Allani hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM10 juta.

Mohammad Lan, 66, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mohammad Lan didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan memindahkan wang RM3 juta daripada akaun Private Banking PortfolioCIMB Bank miliknya ke akaun simpanan tetap CIMB Bank Berhad juga miliknya di CIMB Bank, Jalan Sagunting Central Building di sini pada 10 Dis 2012.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh memindahkan wang RM7 juta ke dalam akaun miliknya di tempat dan hari yang sama.

Mohammad Lan didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613), dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan.

Hakim Abu Bakar menetapkan wang jaminan RM100,000 dan 30 Jun untuk tarikh sebutan semula kes, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai sementara tertuduh diwakili peguam Luke Ressa Balang.

Pada 10 Jan lepas, Mohammad Lan dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada dua pertuduhan itu.

Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai, memohon supaya Mohammad Lan dilepaskan tanpa dibebaskan berikutan dia akan didakwa semula terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut di Mahkamah Sesyen di sini.

-BERNAMA