TELUPID: Bekalan barangan perlu di sekitar Pekan Telupid dan Tongod adalah stabil dan mudah diperolehi, kata Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John.
Menurut beliau, kebanyakan peruncit di kawasan itu menerima bekalan barangan perlu termasuk gula, tepung gandum dan minyak masak daripada pemborong dilantik di bawah Program Prihatin Keluarga Sandakan (PPKS).
Katanya, PPKS adalah hasil inisiatif KPDN Cawangan Sandakan sejak April 2022 dan ia telah berjaya menstabilkan bekalan.
“Bekalan barangan perlu yang stabil dan mudah diperolehi sekaligus mengelak berlakunya pembelian panik ataupun berebut-rebut dalam kalangan pengguna,” katanya selepas mengetuai OPS Jamin KPDN bersama Kawalselia Padi & Beras (KPB) Cawangan Sandakan di sekitar Pekan Telupid dan Tongod pada Selasa.
Dalam operasi tersebut, pihaknya bersama KPB Cawangan Sandakan telah memeriksa sebanyak 15 premis peruncit.
Manakala, bagi tempoh sepanjang 1 hingga 26 September, sebanyak 35 premis telah diperiksa di bawah operasi yang sama.
Menurut Azdy, dalam operasi kelmarin, pihaknya mengenakan satu kes kompaun bernilai RM500 ke atas sebuah premis peruncit di bawah Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan atau memiliki alat timbang yang tidak ditentusahkan.
“Pemantauan dan pemeriksaan akan diteruskan dari semasa ke semasa melibatkan seluruh kawasan Sandakan termasuk di luar bandar. Pengguna boleh menyalurkan aduan lengkap kepada KPDN dan KPB melalui saluran yang betul agar penguatkuasaan lebih berkesan.
“Peniaga juga diingatkan agar sentiasa mematuhi segala undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan tidak menaikkan harga barang sewenang-wenangnya untuk mengaut keuntungan yang berlebihan ketika rakyat menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat,” jelasnya.