Sasaran tingkatkan pelajar aliran sains di Sabah kepada 40 peratus pada 2025

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berharap sasaran untuk meningkatkan pelajar aliran sains di Sabah kepada sekurang-kurangnya 40 peratus dapat dicapai pada 2025.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata ketika ini pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sabah hanya mewakili kira-kira 28 peratus.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Jabatan Pendidikan Negeri dapat mengambil langkah berkesan ke arah mencapai sasaran itu.

“Saya berharap agar KSTI, Jabatan Pendidikan Sabah dan semua agensi berkaitan dapat mencapai sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar mengambil bidang sains menjelang 2025 di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Mobile Exhibition Experiencing Science: Enlightening Innovation Tour in Sabah di Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) Tanjung Aru, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Hajiji berkata, kerajaan akan memperkasakan lagi program pembudayaan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) bagi menarik minat lebih ramai pelajar di negeri ini untuk menceburi bidang berkenaan.

Katanya, usaha itu perlu memandangkan ketika ini kadar penglibatan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terutamanya sains tulen semakin menurun.

“Kerajaan Negeri memandang serius senario ini memandangkan kita perlu menyediakan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, sains dan teknologi bagi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.

“Untuk itu, Kerajaan Negeri mensasarkan nisbah 60:40 iaitu 60 peratus Aliran Sains dan 40 peratus Aliran Sastera. Ini kerana kadar penglibatan pelajar STEM pada tahun ini hanya mencapai 28 peratus,” katanya.

Hajiji berkata, di peringkat Kerajaan Negeri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) telah menggubal Pelan Strategik 2022-2025 sebagai panduan pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasakan ekosistem STIE di Sabah.

Menyentuh mengenai pameran Mobile Exhibition Experiencing Science: Enlightening Innovation Tour in Sabah, Hajiji berkata, Sabah menjadi negeri pertama di Malaysia dan ketiga di Asia yang melaksanakan program kembara pameran sains interaktif itu.

Katanya, KSTI dengan kerjasama China Science Technology Museum dan Guangxi Science Technology Museum akan mengadakan siri jelajah pameran interaktif sains bergerak itu di 14 daerah terpilih selama tiga tahun iaitu sehingga 26 September 2026.

“Pameran ini amat bermakna kerana Kerajaan Republik Rakyat China telah melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif baharu dalam bidang STI, dan berada di kedudukan ke-11 dalam Indeks Inovasi Global 2022.

“Keadaan ini telah meletakkan mereka sebagai kuasa besar sains dan teknologi terkemuka dunia. Pameran ini juga salah satu inisiatif KSTI memupuk minat pelajar terhadap STEM di negeri ini, selain menjadi teras dalam agenda dan Hala Tuju SMJ,” katanya.

Justeru itu, beliau mahu peluang kerjasama dengan China diperluaskan khususnya dalam bidang Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan lain-lain teknologi pada masa hadapan.