KOTA KINABALU: Impian memiliki rumah sendiri sejak sekian lama akhirnya tercapai apabila rumah yang dipohon di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tebobon sepenuhnya pada akhir tahun lalu.
Penerima PPRT, Jumaani Madin berkata, ini secara tidak langsung bebanan menyewa selama beberapa tahun akhirnya selesai apabila mendapat sebuah rumah yang sangat selesa.
Katanya, ini merupakan hadiah tahun baharu 2022 kepada keluarganya berikutan selama ini terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk menyewa rumah sebagai tempat berlindung kepada mereka sekeluarga.
“Sehingga saya tidak mampu lagi menyewa sehingga perlu menumpang di rumah keluarga terdekat. Kini rasa bebanan menyewa selama ini hilang…Selepas ini boleh fokus kepada keperluan keluarga terutama menjelang musim persekolahan anak-anak awal minggu depan.
“Kami sekeluarga sangat bersyukur kepada semua yang membantu terutama kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan,” katanya.
Jumaani berkata, perasaan terima kasih diucapkan kepada Ketua Kampung serta pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bertungkus lumus memastikan mereka sekeluarga dapat menikmati rumah yang sangat selesa ini.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan berkata, pihaknya merancang untuk membantu mengenalpasti penerima PPRT ini dapat dibantu dalam tempoh terdekat.
“Ini adalah merupakan sasaran utama kita DUN Karambunai untuk membolehkan lebih ramai mereka yang layak mendapat rumah yang selesa untuk jangka masa panjang.
“Fokus kita adalah untuk menyediakan kediaman yang selesa kepada golongan termiskin yang masih belum mempunyai kediaman. Selain itu kita, juga mengambil kira mereka yang memerlukan bantuan untuk membaik pulih rumah mereka.
Yakub berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) agar selepas ini ramai mendapat manfaat PPRT di masa akan datang.