KOTA KINABALU: Semua jentera Srikandi Bersatu Sabah digalakkan agar bijak menguasai kemahiran serta ilmu pengetahuan untuk mengenai teknologi media sosial bagi dimanfaatkan dalam mengukuhkan gerak kerja parti di peringkat akar umbi.
Ketuanya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, tanpa kemahiran tersebut sudah pasti akan ketinggalan untuk menguasai banyak aspek kehidupan, setiap individu serta organisasi dalam perubahan teknologi semasa.
Katanya, dalam usaha ke arah itu ketua penerangan serta biro latihan dan komunikasi Srikandi perlu menyusun program berkaitan supaya setiap ahli mampu menguasai teknologi digital hari ini.
“Untuk mendekati orang ramai pada masa ini bukan sahaja bergantung kepada kaedah bersemuka tetapi perlu diperkukuh serta diperkuatkan melalui sistem maya yang semakin canggih.
“Biro yang berkenaan perlu melaksanakan secara berkala kursus-kursus berkaitan media sosial, aplikasi dan kaedah jaringan Facebook, Page, Instagram, Twitter malah TikTok yang semakin popular hari ini.
“Mereka juga perlu didedahkan dengan pengisian atau ‘content’ yang menepati cita rasa golongan sasar yang pelbagai hari ini. Untuk mendekati orang ramai apa sahaja kaedah perlu dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Khas Awal Tahun Penerangan Srikandi Bersatu Negeri bersama Biro Latihan dan Komunikasi di sini semalam.
Azizah merupakan Ahli Parlimen Beaufort berkata, media sosial bukan sahaja membolehkan penyebaran maklumat menjadi mudah tetapi juga membolehkan pemimpin mengetahui isu-isu yang berbangkit di peringkat akar umbi.
“Melalui media sosial kita bukan sahaja boleh mengawal maklumat untuk disampaikan tetapi juga menerima maklumat daripada bawah untuk diberi perhatian. Dalam hal ini, kita boleh mengenal pasti isu-isu yang berbangkit di 25 bahagian yang kita ada,” katanya.
Katanya, oleh kerana media sosial mempunyai pengaruh yang besar kepada orang ramai dan mampu mempengaruhi corak pemikiran rakyat, seharusnya setiap jentera Srikandi mempunyai keupayaan untuk mengawal sebarang dakyah yang disebarkan.
Malah, katanya, mereka seharusnya mampu mendidik pengguna media sosial supaya menjadikan platform media sosial itu sebagai pemangkin kepada kemajuan ekonomi.
“Jika digunakan untuk menyebarkan maklumat yang baik, dijadikan platform untuk perniagaan, saya percaya penggunaan media sosial ini mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi masyarakat.
“Oleh itu, kita tidak lagi boleh ketinggalan dan perlu menjadi peneraju kepada komuniti alam maya ini. Kita tidak boleh menjadi sekadar pengikut atau follower.
“Kita yang menyediakan ‘content’ atau pengisian yang sesuai, membina fikiran, meningkatkan kefahaman mengenai organisasi dan dasar kerajaan serta pelbagai lagi ilmu pengetahuan,” katanya.