KUALA LUMPUR: Penyertaan beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM) sedikit sebanyak memberi tamparan kepada parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
Sinar harian melaporkan, dengan kewujudan PBM ini juga mencetuskan tanda tanya adakah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin akan menyertai PBM selepas ini.
Zuraida sebelum ini pernah dilapor tidak menolak menyertai PBM apabila ditanya sekiranya beliau akan mempertimbangkan untuk memimpin parti itu tahun lalu.
Dapat dilihat juga apabila pemegang jawatan dalam PBM yang baru ditubuhkan ini adalah mereka yang rapat dengan Mohamed Azmin dan Zuraida sebelum ini.
Antaranya ialah Timbalan Presiden I PBM, Haniza Mohamed Talha; Ketua Wanita, Daroyah Alwi dan Setiausaha Agung, Nor Hizwan Ahmad.
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dipilih sebagai Presiden PBM dalam Mesyuarat Khas Persidangan Agung parti itu pada Sabtu.
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang menyertai Bersatu pada tahun lalu turut tersenarai dalam kepimpinan baharu PBM iaitu ADUN Buntong, A Sivasubramaniam yang dilantik sebagai Naib Presiden Kanan II dan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong sebagai Bendahari Agung.
Bagaimanapun, sekiranya Mohamed Azmin dan Zuraida menyertai PBM selepas ini, ia memberikan kesan yang besar kepada kedua-dua ahli politik berkenaan.