Bantuan SELASIH RM10,000 disalurkan bantu persatuan penulisan kreatif di Sabah – Mohd Arifin

KOTA  KINABALU : Kerajaan negeri akan meneruskan inisiatif Sumbangsih Bahasa dan Sastera Sabah (SELASIH) sejak diperkenalkan tahun lalu bagi memberikan sokongan kepada persatuan penulisan kreatif di Sabah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, SELASIH  mula disalurkan April ini merangkumi bantuan kepada  persatuan penulis serta diberikan bidang sastera berdaftar di Sabah.

Mohd Arifin ketika berucap di majlis tersebut.

Katanya, kerajaan berharap agar badan bidang penulisan di Sabah mampu menghasilkan buku serta melaksanakan kegiatan sastera yang memberi impak kepada gerakan bahasa dan sastera Sabah.

“Sejumlah RM10,000 disalurkan kepada setiap persatuan, tahun lalu 10  persatuan atau badan penulis berdaftar menerima manfaat, kita berharap tahun ini akan meningkat.

“Kita harap mereka dapat menerima sumbangan ini termasuk di kawasan Sandakan, Tawau, Kudat dan Kota Kinabalu, kita berusaha membantu,” katanya pun perlu ramai yang bergiat dan kita boleh bantu,” katanya di sini semalam.

Mohd Arifin memalu gong sebagai gimik perasmian.

Sementara itu ketika berucap di majlis tersebut Mohd Arifin menzahirkan harapan agar Ikatan Penulis Sabah (IPS) bersama rakan strategik dapat meneruskan kerjasama mereka.

“Ini termasuk mengabungkan jalinan teknologi ke dalam bidang sastera dengan penglibatan lebih banyak pihak berlangsung dalam skala lebih besar.

“Ketika ini, kita masih mempertahankan pendekatan  bersifat tradisional dalam melaksanakan sesuatu usaha,” jelas Mohd Arifin.

Menurutnya, semua pihak tidak dapat lari daripada pemodenan bersama kepesatan teknologi yang memudahkan sebahagian besar masyarakat pada masa kini.

“Gerakan bahasa dan sastera kebangsaan di Sabah tidak terkecuali daripada kenyataan tersebut.

Mohd Arifin bersama tetamu jemputan lain di majlis berkenaan.

“Ketika kita masih memerlukan buku fizikal, kita tetap sahaja mencari buku digital dan interaktif untuk dibaca serta dipasarkan kepada pelbagai lapisan masyarakat di negara ini,” kata Mohd Arifin.