Banjir Sabah: 313 mangsa berlindung di tiga PPS di Pitas petang Isnin

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Pitas tidak banyak berubah dengan 313 mangsa banjir daripada 96 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) petang ini berbanding 311 mangsa banjir daripada 97 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan tiga PPS terlibat adalah Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas II menempatkan 108 mangsa daripada 41 keluarga; Dewan SK Rukom (132 mangsa daripada 35 keluarga); dan Dewan Kampung Kusilad (73 mangsa daripada 20 keluarga).

Gambar Ihsan/Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah

Semua PPS itu dibuka sejak petang semalam berikutan paras air semakin meningkat di enam kampung iaitu Kampung Tambilidon, Kampung Kalumpang, Kampung Taka, Kampung Saab Darat, Kampung Rukom Ulu dan Kampung Kusilad

Tiada lagi PPS baharu dibuka memandangkan keadaan banjir terkawal petang ini.

Gambar Ihsan/Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah

Cuaca di Papar, Kota Kinabalu dan kawasan lain di pantai timur Sabah pada masa ini mendung manakala hujan renyai di kawasan utara Sabah antaranya Paitan dan kawasan tengah Telupid.

— BERNAMA