LAHAD DATU (Bernama): Banjir kilat di Taman Khazanah Indah akibat hujan berterusan dan limpahan air sungai berdekatan yang berlaku malam tadi, surut sepenuhnya hari ini.
Pegawai Daerah Lahad Datu Juraimin Jadil berkata 27 mangsa dari lima keluarga yang dipindahkan ke di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Plasma Stesen Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini malam tadi telah dibenarkan pulang 3 petang ini.
“Banjir kilat itu terjadi disebabkan tebing sungai iaitu penghadang banjir pecah menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan berhampiran…banjir itu mula surut tengah malam tadi.
“Saya berharap pihak pemaju dapat menyelesaikan masalah tersebut untuk mengelakkan kejadian banjir kilat berulang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan bahawa air banjir tidak bergenang di kawasan kediaman mangsa banjir dan semua mangsa telah selamat pulang.
“Semua mangsa terlibat telah diberikan bantuan bakul makanan…dan kerja-kerja mengemas pusat pemindahan telah selesai. Seramai 14 petugas terdiri pelbagai agensi terlibat dalam membantu mangsa banjir di sini,” katanya.
Sabahnewstoday