Bangunan tambahan Hospital Tawau dijangka beroperasi tahun ini – Liew

TAWAU : Bangunan tambahan Hospital Tawau, yang menelan kos kira-kira RM210 juta, telah siap sepenuhnya dan dijangka memulakan operasinya tahun ini.

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah, berkata projek ini merupakan kebanggaan penduduk Tawau dan sekitarnya, kerana mereka kini boleh menikmati perkhidmatan kesihatan berkualiti tanpa perlu ke Kota Kinabalu.

Katanya, projek dimulakan pada 2017 ini dilengkapi pelnagai fasiliti serta peralatan kesihatan terkini, termasuk Unit Kecemasan yang luas, Unit Rawatan Kelecuran pertama di Pantai Timur Sabah, serta tapak Helipad.

“Pelbagai kekangan serta cabaran dihadapi semasa menjayakan projek pembinaan di tempat ini apa lagi projek ini terpaksa diberhentikan sementara ekoran pandemik COVID-19.

“Namun dengan adanya sokongan kerajaan Persekutuan dan Negeri telah memastikan projek ini berjaya disiapkan,” katanya di sini semalam.

Liew berkata, bangunan sembilan tingkat ini mempunyai 154 katil, enam bilik bedah, empat suite endoskopi, 30 unit hemodialisis, bilik Pengimejan Resonans Magnet (MRI), dan bilik seminar bagi memastikan kemudahan pesakit akan disediakan secara lebih efisien.

“Terdapat juga pejabat Bahagian Pentadbiran menyediakan suasana kerja lebih produktif untuk kakitangan hospital.

“Bukan itu sahaja, di bangunan baru ini terdapat bilik khas bagi Unit Rawatan Kelecuran yang pertama di Pantai Timur  Sabah dan ini sangat membanggakan orang Tawau,” jelas Liew.

Menurutnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor banyak membantu menjayakan projek ini.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Ketua Setiausaha Negara (KSN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) yang berusaha membantu dalam menyiapkan projek ini.

“Penduduk Tawau haruslah bersyukur kerana mempunyai pemimpin yang prihatin akan keperluan rakyat dan sentiasa memberikan sokongan kepada kerajaan agar lebih banyak lagi pembangunan dapat dilaksanakan,” kata Liew.