Atlet Veteran Labuan, Marta Basa bantu Malaysia menang 104 pingat di Kejohanan Olahraga Masters Asian di Filipina

LABUAN: Marta Basa Lokman, satu-satunya atlet dari Persatuan Atlet Veteran Labuan berjaya membantu kontinjen Malaysia meraih 104 pingat keseluruhan di Kejohanan Olahraga Masters Asian ke-22 di Tarlac, New Clark City Athletics Stadium Filipina, baru baru ini.

Beliau yang mewakili Malaysia berjaya memenangi dua pingat gangsa melalui acara Lompat Jauh dan Lompat Kijang wanita kategori umur 45 – 49 Tahun.

Kontinjen Malaysia yang menyertai Kejohanan Master kali ke 22 di Filipina.

Kehebatan Marta terserlah apabila beliau turut membantu kuartet Malaysia membawa pulang dua pingat emas dalam acara 4×100 Meter dan 4×400 Meter.

Pengerusi Persatuan Atlet Veteran Wilayah Persekutuan Labuan, Adnan Talipudin berkata kejayaan dan pencapaian Marta itu bukan sahaja membanggakan persatuan malah atlet veteran dan warga Labuan sendiri.

“Semoga pencapaian yang cukup membanggakan itu akan terus menjadi pembakar semangat kepada atlet-atlet yang lain.

“Persatuan Atlet Veteran Wilayah Persekutuan Labuan bangga dengan pencapaian Marta yang bukan sahaja atlet tunggal dari Labuan Masters yang mewakili Malaysia tetapi juga mampu membantu Malaysia meraih pingat emas dan gangsa.

“Saya berharap atlet akan meneruskan latihan bagi menghadapi kejohanan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kontinjen Malaysia yang menghantar 104 atlet dan tujuh Pegawai untuk penyertaan kategori 45 – 49 Tahun.