LABUAN : Syarikat Asian Supply Base (ASB) Labuan memperoleh persijilan ISO 37001-2016, Sistem Pengurusan Anti Rasuah dianugerahkan SIRIM QAS International Sdn. Bhd.
Majlis Penerimaan sijil ISO 37001-20176 itu disampaikan Senior Key Account Manager, Ahmad Faizal mewakili SIRIM QAS International kepada Ketua Pegawai Eksekutif ASB, Datuk Jaafar Estaban sempena sambutan Hari Integriti.
Ketika berucap di majlis itu Jaafar berkata, pengiktirafan Sijil ISO 37001 membuktikan komitmen ASB dalam menegakkan prinsip integriti dan mematuhi garis panduan tatacara ditetapkan SPRM.
“Penganugerahan Sijil ISO 37001 ini dapat meningkatkan keyakinan pelanggan serta pihak berkepentingan terhadap ASB.
“Selain itu ia merupakan komitmen berterusan ASB dalam mempromosikan integriti dan govenans yang baik,” jelas Jaafar.
Menurutnya, ASB dalam usaha membangunkan Pelan Anti Rasuah (ASB-ACP) melibatkan kerjasama wakil setiap jabatan.
“Pelan ini diharap dapat meningkatkan lagi kecekapan operasi sekali gus memastikan segala urusan dijalankan dengan telus dan bebas dari unsur rasuah, selaras dengan keperluan perundangan,” kata Jaafar.