KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia agar memperkukuh tekad menolak kebencian dan menyemai empati sebagai asas membina keharmonian negara, bersempena sambutan Hari Krismas esok.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata kekuatan Malaysia terletak pada kesatuan dalam kepelbagaian, khususnya dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan kaum.
Menurutnya, Kerajaan MADANI percaya keharmonian tidak lahir secara kebetulan, sebaliknya dibina melalui dasar yang adil, peluang yang saksama serta budaya saling memahami antara rakyat.
“Dalam dunia yang berdepan ketidaktentuan ekonomi, konflik kemanusiaan dan perpecahan sosial, Malaysia memilih jalan perpaduan, dialog dan saling menghormati sebagai asas membina masa depan negara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perpaduan yang tulen hanya dapat dizahirkan apabila setiap warga dihormati, dilindungi dan diberi ruang untuk menyumbang kepada masa depan bersama.
Dalam masa sama, Anwar turut mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua penganut Kristian di negara ini dan berharap sambutan tersebut membawa kedamaian, keharmonian serta kemakmuran kepada Malaysia dan seluruh rakyat.
