Anak Jati Kota Belud diperlukan bertanding di PRU15 ini – Pandikar

KOTA KINABALU: Parlimen Kota Belud masih mempunyai ramai calon ‘Anak Jati’ yang berwibawa untuk diketengahkan sekali gus tidak memerlukan calon luar buat masa ini.

Ketua Penyelaras Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, tidak perlu bagi pemimpin luar ‘mencalonkan diri’ memandangkan kawasan itu juga tidak ketandusan orang muda berpotensi untuk diangkat bertanding, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Kota Belud itu sendiri sudah melahirkan ramai pemimpin dari pelbagai lapisan masyarakat dan usia. Sebagai ketua penyelaras GRS Parlimen Kota Belud, kita berpegang kepada amanat pucuk pimpinan (GRS) YAB Datuk Seri Hajiji Noor dalam mengendali mahupun mentadbir kawasan Parlimen ini.

“Kita juga boleh mengajukan pandangan kepada YAB Datuk Seri kerana kita mengamalkan budaya muafakat dan akan bekerjasama sebagai sebuah parti gabungan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, pencalonan bagi kawasan Kota Belud boleh dilaksanakan menerusi permuafakatan dan perbincangan sesama parti gabungan.

“Rasanya, tidak perlulah pemimpin dari luar mencalonkan diri kerana kita sudah ada pemimpin sendiri yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dan usia.

“Kita tidak lagi ketandusan pemimpin sehingga perlu membawa masuk pemimpin dari luar daerah (bukan anak jati kelahiran Kota Belud) pada pilihan raya kali ini,” katanya.

Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengesahkan namanya adalah antara lima calon disenaraikan Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kota Belud, menjelang PRU15.

Abdul Rahman ingin mahu kembali berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di Kota Belud untuk menyambung apa yang pernah dilakukannya ketika menyandang kerusi berkenaan, sebelum PRU14.

Pada PRU14, Abdul Rahman berkata, beliau diarah parti bertanding di Parlimen Sepanggar, namun tewas kepada calon Warisan, Azis Jamman.