Anak gajah terkena jerat di Lahad Datu disahkan mati

LAHAD DATU: Seekor anak gajah yang kehilangan pergelangan kaki kanan selepas terpaksa dipotong akibat cedera parah terkena jerat, disahkan mati semalam.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata punca kematian anak gajah berusia dua tahun itu dipercayai akibat kegagalan organ dalaman haiwan terbabit seperti paru-paru selain pendarahan pada usus dan perut.

“Pegawai veterinar berusaha memberi rawatan terbaik kepada anak gajah itu selepas proses pembedahan memotong kaki dilakukan. Anak gajah ini menunjukkan perkembangan baik, sihat malah makan dan minum seperti biasa namun semalam, ia rebah.

“Anak gajah ini cuba bangun tetapi rebah semula dan kira-kira 6.15 petang ia berhenti bernafas dan doktor yang merawat mengesahkan kematiannya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Jafry berkata situasi berkenaan amat menyedihkan dan berharap kejadian mencederakan haiwan hingga menyebabkan kematian tidak berulang.

Sebelum ini dilaporkan anak gajah berkenaan terkena jerat di Tungku dekat sini pada Sabtu lepas dan kemudian diselamatkan pasukan penyelamat Jabatan Hidupan Liar Sabah dengan diberi rawatan termasuk pembedahan pergelangan kaki.

– BERNAMA