SEMPORNA: Tindakan tegas perlu diambil terhadap peniaga yang gagal meletakkan tanda harga kepada barangan perniagaan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakung berkata, hasil pemeriksaan mendapati hampir semua peniaga di Pasar Pekan Semporna did dapati gagal meletakkan tanda harga.
Katanya, tindakan ini dilihat boleh menyebabkan peniaga ini secara suka hati meletakkan harga tanpa mengikut garis panduan harga yang ditetapkan.
“Terutama dimusim perayaan tindakan peniaga ini dilihat sangat menyusahkan rakyat. Jangan dibiarkan peniaga ini bertindak tanpa ada pemantauan sekali gus sangat membebankan rakyat.
“Kita minta pihak berkuasa perlu turun padang melaksanakan pemantauan serta menguatkuasakan undang-undang secara tegas dengan lebih kerap dengan mengambil tindakan menjalankan pemeriksaan terhadap peniaga yang degil ini,” katanya di sini hari ini.
Turut hadir dalam lawatan itu, ADUN Bugaya, Jamil Hamzah,
Jaujan berkata, beliau mengesa agar pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) bersama Majlis Daerah Semporna (MDS) melaksanakan tanggungjawab mereka menjalankan pemeriksaan lebih kerap kepada peniaga di kawasan Semporna.
“Ambil tindakan tegas dan pegawai penguatkuasa perlu jalankan tangungjawab mereka memantau dengan mengambil tegas terhadap yang gagal mematuhi peraturan harga barangan ini.
“Tindakan peniaga ini melanggar peraturan yang ditetapkan oleh KPDN. Manakala MDS boleh ambil tindakan sehingga membatalkan lesen sekiranya terbukti mereka melanggar peraturan yang ditetapkan,” katanya.