PENAMPANG: Seramai 42 usahawan dan koperasi menerima sumbangan pembiayaan lebih RM5.2 juta melalui agensi-agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Menterinya, Datuk Ewon Benedict, agensi-agensi tersebut antaranya ialah TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Corporation Malaysia (SME Corp.), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), UDA Holdings Berhad (UDA) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“KUSKOP yang diberi mandat menerajui pembangunan bidang keusahawanan sentiasa komited membantu memperkasakan ekosistem koperasi, usahawan informal, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Pemulihan sektor PMKS akan dilaksanakan melalui dasar yang menyokong pertumbuhan sektor ini untuk kembali berdaya tahan bagi memastikan usahawan PMKS bersedia menghadapi sebarang kejutan dan terus dapat menyumbang kepada sektor ekonomi.
“Justeru, usaha akan dilakukan melalui peningkatan akses kepada pembiayaan, pengukuhan aktiviti berasaskan sumber, memudah cara perniagaan dan peningkatan akses pasaran,” katanya semasa merasmikan Program Kesepaduan Komuniti Usahawan dan Koperasi Parlimen Penampang di Dewan Kebudayaan Sabah, di sini semalam.