Amalkan Budaya Berjimat-Cermat Dalam Merayakan Aidilfitri – Suhaimi

SANDAKAN: Masyarakat Islam diingatkan agar sentiasa merancang perbelanjaan persiapan serta kelengkapan supaya tidak mengamalkan sikap boros pada bulan perayaan ini.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, meskipun Hari Raya Aidilfitri hanya menjelang setahun sekali namun masyarakat perlu membuat perancangan perbelanjan pada setiap masa.

Katanya, amalan berjimat-cermat perlu sentiasa diamalkan dengan  hanya berbelanja pada perkara perlu pada musim perayaan ini.

“Kita tidak harus membelanjakan secara berlebih-lebihan semata-mata hanya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri ini.

“Ketika menyediakan segala jenis persiapan serta kelengkapan, adalah penting supaya setiap daripada kita merancang perbelanjaan agar tidak mengamalkan sikap boros berbelanja musim perayaan,” katanya hari ini.

Suhaimi merupakan Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata, adalah menjadi amalan setiap kali menjelang Aidilfitri masyarakat gemar membelanjakan juadah untuk dinikmati pada bulan syawal.

“Dalam keadaan ekonomi semasa serta kos sara hidup semakin meningkat, masyarakat dituntut untuk mengamalkan gaya hidup yang bersederhana serta berjimat cermat.

“Ramadan yang lalu bukan sahaja menuntut umat Islam menjalani ibadat puasa malah turut mengajar  menjadi insan yang sederhana khususnya dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya.

Suhaimi mengingatkan Aidilfitri adalah titik tolak kepada perubahan seluruh umat Islam untuk memperbaiki hubungan sesama insan serta mengeratkan perpaduan dalam kalangan ummah.

“Umat Islam yang berpadu dan sekata dalam aspek pandangan, sikap dan tindakan akan memastikan keharmonian hidup masyarakat terbela serta bagi membangunkan bangsa dan negara pula terancang secara lebih sempurna.

“Malah, menerusi perpaduan ummah yang jitu, hak bukan Islam sebagai warganegara di negara ini sentiasa terus terjamin,” katanya.

Hadir sama dalam program ini, Ayahnya Nasir Misrah, Naib Ketua UMNO Bahagian Libaran Datuk Salzo Asa, Setiausaha UMNO Bahagian Libaran Amat serta Pegawai Khas Ahli Parlimen Libaran, Shariff Ismarhafiz Sh Abd Rahman.