KOTA KINABALU: Pelancaran aplikasi mudah alih TV Sabah merupakan satu langkah yang tepat pada waktunya.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, TV Sabah merupakan siaran TV digital yang khusus oleh rakyat Sabah dengan majoriti pengisiannya tertumpu kepada negeri Sabah seperti perkembangan berita, bakat dan kebudayaan.
“Era digital masa kini telah mengubah gaya hidup masyarakat di seluruh pelusuk dunia.
“Sudah begitu banyak perubahan yang dapat kita lihat sama ada cara kita berinteraksi, cara kita belajar, berurusniaga, menonton TV untuk mendapatkan info serta hiburan, semuanya sudah banyak berbeza dan berubah dengan sentuhan digital.
Peratusan penonton menggunakan aplikasi media streaming semakin meningkat disebabkan kemudahan yang disediakan aplikasi media ini berbentuk fleksibel, senang diakses dan mempunyai lebih banyak pilihan.
Oleh itu, langkah Syarikat Kinabalu Media Sdn. Bhd. untuk melancarkan aplikasi mudah alih iaitu TV Sabah merupakan satu langkah yang tepat pada waktunya,” katanya.
Dr. Jeffrey merupakan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berharap semua pihak akan memberikan sokongan serta bantuan terhadap usaha murni TV Sabah yang merupakan produk tempatan untuk menjadikan platform tersebut sebagai medium ekspresi dan komunikasi untuk rakyat Sabah.
Katanya, TV Sabah merupakan platform yang akan membawakan secara khusus acara-acara kemuncak sempena Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah antaranya pertandingan Sugandoi dan Unduk Ngadau melalui aplikasi berkenaan.