Alliance Bank jalin kerjasama dengan Bendahari Negeri Sabah anjur Program Celik Kewangan Cabaran AEIOU sekolah di Sabah – Mary

KOTA KINABALU : Alliance Bank Malaysia Berhad menjalin kerjasama Jabatan Bendahari Negeri Sabah bagi mengukuhkan komitmennya menyemai pengetahuan celik kewangan dalam kalangan kanak-kanak menerusi program Cabaran AEIOU di negeri ini.

Bendahari Negeri Sabah, Datuk Mary Angela Sipaun berkata, inisiatif merangkul anugerah peringkat kebangsaaan ini meningkatkan tahap kesedaran tentang kemahiran pengurusan wang asas demi memberi tumpuan kepada pelajar berumur antara 9 hingga 12 tahun di Sabah.

Mary Angela Sipaun

Katanya, Alliance Bank bekerjasama dengan Jabatan Bendahari Negeri Sabah (JBNS) mengenal pasti sekolah d Sabah, termasuk di Parlimen Sepanggar, Inanam, Tuaran, serta beberapa komuniti lain berkaitan kekurangan akses kepada sumber celik kewangan.

“Menerusi program Cabaran AEIOU, Alliance Bank menyampaikan pengetahuan celik kewangan melalui bengkel secara fizikal dan dalam talian. Alliance Bank memainkan peranan penting dalam menyebarkan pengetahuan celik kewangan.

“Usaha ini  sejajar dengan Kurikulum Sekolah Tahun 2027 Kementerian Pendidikan Malaysia menyumbang kepada salah satu objektif utama memupuk sifat pembelajaran sepanjang hayat,” katanya di sini hari ini.

Antara pelajar yang menyertai program hari ini.

Mary berkata, kurikulum ini menekankan pembangunan kemahiran serta pengetahuan di luar bilik darjah supaya pelajar murid bersiap sedia menghadapi cabaran dunia sebenar.

“Inisiatif ini mengukuhkan komitmen Alliance Bank untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan belia dan kanak-kanak.

“Ia selaras dengan Strategi Celik Kewangan Kebangsaan 2019-2023 diilhamkan  oleh Jaringan Pendidikan Kewangan. Alliance Bank berharap visinya memupuk amalan menabung dalam kalangan kanak-kanak dapat melahirkan individu yang bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan,” jelas Mary.

Menurutnya, JBNS memainkan peranan penting dalam memudahkan capaian Alliance Bank di Sabah selaras dengan usaha bersama sekolah serta komuniti tempatan bagi menggalakkan penyertaan diterima  secara meluas.

Mary Angela Sipaun (tengah) bersama guru-guru dan pelajar bergambar kenangan selepas program hari ini.

“Misi kami adalah untuk mengekalkan kesejahteraan masyarakat dengan memperkasakan individu muda melalui pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan.

“Sambil menyokong inisiatif Alliance Bank, kami memastikan murid sekolah di Sabah dilengkapi dengan keperluan dan pengetahuan asas untuk membuat keputusan kewangan yang bijak sejak kecil,” katanya.