Kampung Sungai Keling terpilih lokasi pelancaran QR Code Aduan Masyarakat peringkat IPD Labuan

LABUAN : Kampung Sungai Keling majoriti penduduknya masyarakat Tionghua dipilih sebagai lokasi Pelancaran Imbasan QR Kod Aduan Masyarakat peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan.

Majlis pelancaran diadakan di balai raya kampung disempurnakan Ketua Jabatan Bahagian Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), SAC Datuk Azhar Hamin.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu Azhar berkata, imbasan QR Kod Aduan Masyarakat adalah merupakan platform penyaluran maklumat menggunakan telefon bimbit secara pantas.

Beliau berkata, setiap aduan atau maklumat yang diterima melalui imbasan QR  Kod Masyarakat akan terlebih dahulu ditapis.

“Ia termasuk akan diteliti dari segi kesahihan oleh Bahagian Pendataan Analisa sebelum sebarang tindakan diambil.

“Segala bentuk maklumat yang disalurkan melalui platform ini adalah rahsia dan akan diambil tindakan sewajarnya di dalam memberi kepuasan hati kepada seluruh masyarakat,” katanya.

Azhar berharap agar masyarakat  dapat memberikan kerjasama dalam usaha pihak polis mewujudkan persekitaran yang harmoni dan selamat serta bebas Jenayah.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan, DSP Robin@ Mohd Redzuan Ismail, Ketua Kampung Sungai Keling, Goh Siew Lang.