Aktiviti riadah satukan komuniti, cetus ekonomi baharu – Shahelmey

PUTATAN: Aktiviti riadah setempat bukan sekadar mengisi masa lapang, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada perpaduan masyarakat dan pencetus idea ekonomi baharu di peringkat komuniti.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata, penyertaan masyarakat dalam aktiviti riadah mampu membuka ruang kepada perkongsian idea sekali gus mewujudkan peluang menjana pendapatan.

Menurutnya, banyak aktiviti riadah yang dianjurkan di peringkat komuniti kini menunjukkan impak positif, termasuk membantu meningkatkan ekonomi setempat.

“Apabila masyarakat bersatu melalui aktiviti riadah, pelbagai idea baharu boleh lahir dan seterusnya diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi yang memberi manfaat bersama.

“Inilah kekuatan perpaduan yang perlu kita manfaatkan untuk membina komuniti yang lebih berdaya saing pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program ramah mesra bersama peserta Jom Memancing di Jeti Konkrit Kampung Tanjung Aru, di sini, malam Sabtu.

Program anjuran Kelab Komuniti Belia Tanjung Aru dengan kerjasama Belia Masjid Al-Khauthar itu disertai kira-kira 50 peserta terdiri daripada penduduk setempat dan peminat aktiviti memancing.

Mengulas mengenai program berkenaan, Shahelmey berkata aktiviti sedemikian bukan sahaja mengeratkan hubungan komuniti, malah berpotensi menarik kehadiran pelancong.

“Program seperti ini memberi nilai tambah kepada kawasan setempat. Lokasi menarik seperti Jeti Konkrit Kampung Tanjung Aru berpotensi menjadi tarikan pelancongan, khususnya kepada kaki pancing,” katanya.

Tambah beliau, usaha komuniti belia menganjurkan aktiviti riadah seumpama itu wajar diberi sokongan kerana selari dengan trend semasa dan minat masyarakat.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya; Pegawai Khas (Pentadbiran dan Operasi) Parlimen Putatan, Mahadzir Abd Majid serta Pengerusi Kelab Komuniti Belia Tanjung Aru, Mohd Shukry Abdul Kadir.