KUALA LUMPUR: AirAsia Malaysia akan mengenakan semula surcaj bahan api mulai 8 Mac ini bagi semua penerbangan domestik dan antarabangsanya.
Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, pengenalan semula surcaj bahan api oleh AirAsia adalah untuk mengimbangi kenaikan harga bahan api yang melepasi AS$120 (RM501.36) setong.
“Surcaj bahan api ini akan dikenakan untuk semua tempahan penerbangan baharu yang dibuat pada dan selepas 8 Mac ini. Semua tempahan dibuat sebelum tarikh itu tidak akan terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
AirAsia Malaysia berkata, kadar surcaj bahan api bagi semua laluan domestik dalam Malaysia adalah RM10, manakala bagi laluan antarabangsa bertempoh satu hingga dua jam pula sebanyak RM25.
Kadar untuk laluan antarabangsa dengan masa dua hingga tiga jam adalah RM25, manakala RM50 untuk tiga hingga empat jam dan RM60 untuk lebih daripada empat jam.
“Sejak kali terakhir kami memansuhkan surcaj bahan api pada 2015 berikutan harga bahan api global serendah AS$48 (RM200.54) setong waktu itu, kami mengalami beberapa lonjakan harga bahan api yang menyebabkan syarikat penerbangan lain mula mengenakan surcaj ini.
“Bagaimanapun, AirAsia menyerap kenaikan harga bahan api yang lalu untuk terus memberikan nilai terbaik kepada pelanggan kami.
“Malangnya, keadaan semasa, dengan harga bahan api melonjak lebih 160 peratus daripada angka pada 2015, menjadikan situasi ini tidak lagi mampan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya berharap langkah ini hanya sementara dan akan terus memantau keadaan semasa, di samping memanfaatkan inovasi teknologi dan digital sebagai cara untuk mengawal kos dan menjadikan perjalanan udara mampu milik untuk semua.
– BERNAMA