Air Asia sasar 5 juta penumpang ke Sabah tahun ini

KOTA KINABALU : AirAsia menyasarkan menerbangkan 5 juta  penumpang ke Sabah melalui Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Sandakan serta Tawau hujung menjelang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Group Bo Lingam berkata, jumlah ini hampir dua kali ganda berbanding 3.7 juta ketibaan direkodkan pada tahun lalu.

Katanya, sasaran pertumbuhan ini merangkumi pelancong domestik dan antarabangsa sekali gus dilihat mampu memperkukuh kedudukan AirAsia sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.

“Bagi mencapai matlamat ini, rancangan pengembangan AirAsia bagi tahun 2025 merangkumi peningkatan rangkaian sedia ada  terdiri daripada 27 laluan.

“Ini termasuk 13 laluan domestik dan 14 laluan antarabangsa ke dan dari Sabah. Penambahbaikan ini dijangka menyumbang kepada peningkatan 35 peratus dalam jumlah penerbangan kepada lebih 51,500 penerbangan setahun,”  katanya di sini hari ini.

Linggam berkata, ini menjadikan pertumbuhan 43 peratus dalam kapasiti tempat duduk kepada 9.8 juta tempat duduk setahun.

“Tahun lalu, AirAsia memainkan peranan penting dalam mempromosikan Sabah bagi mencapai sasaran lebih tiga juta pelawat.

“Ini sekali gus dengan menerbangkan sebahagian besar daripada jumlah tersebut dan memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat penerbangan terkemuka menyokong pertumbuhan pelancongan negeri Sabah,” jelas Linggam.

Menurutnya, sebagai sebahagian usaha menyatukan ekosistem pelancongan Sabah, Air Asia mengadakan siri jelajah di seluruh Sabah.

“Ini bagi mengeratkan kerjasama dan menyelaraskan usaha bagi menambah baik sektor pelancongan utama termasuk penginapan, pengangkutan dan kemudahan akses.

“Disamping itu dapat meneroka pelaburan strategik untuk memajukan infrastruktur pelancongan di negeri Sabah,” kata Lingam.

Menurutnya, pertumbuhan Air Asia di Sabah tidak akan tercapai tanpa daripada Lembaga Pelancongan Sabah (STB) serta rakan industri.

“Untuk mengekalkan momentum ini, kerjasama lebih erat bersama pemain utama dalam sektor pelancongan dan hospitaliti, termasuk hotel dan penggiat pelancongan,” tambah Linggam.