Terminal Feri Antarabangsa Labuan dinaik taraf bagi keselesaan penumpang – Zaliha

LABUAN : Terminal Feri Antarabangsa Labuan termasuk membabitkan Terminal Feri Ro-Ro akan dinaik taraf sekali gus untuk memberi keselesaan kepada penumpang.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dr. Zaliha Mustafa berkata, penambahbaikan

itu juga dijangka akan mengurangkan masa menunggu   khususnya di kawasan Terminal Feri Ro-Ro.

“Kita akan menambah keluasan kawasan ruang menunggu bagi menampung peningkatan bilangan penumpang pada setiap masa.

“Langkah ini akan memberikan keselesaan kepada pengguna termasuk mampu memendekkan masa menunggu khususnya membabitkan perkhidmatan feri penumpang Feri Ro-Ro,” katanya di sini semalam.

Zaliha berkata, ketika ini Perbadanan Labuan sedang meneliti pelbagai sudut untuk cadangan menaik taraf terminal feri lama berkenaan.

“Ini khususnya bagi menilai beberapa keperluan pengendali bot ekpress serta perkhidmatan bot kecil bagi memberi keselesaan kepada operasi sedia ada.

“Kita perlu memberi penekanan khusus dalam perkara ini termasuk meneliti data kapasiti terminal serta pergerakan semasa bot beroperasi di terminal ini,” jelas Zaliha.

Dalam perkembangan sama, beliau diberikan taklimat berkaitan penambahbaikan kemudahan di terminal Feri Ro-Ro membabitkan peruntukan berjumlah RM22 juta oleh Jabatan Laut dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kita akan mengadakan perbincangan secara terperinci bersama Ketua Menteri Sabah berkaitan cadangan LDA Holding untuk mewujudkan semula perkhidmatan feri dari Labuan ke Kota Kinabalu yang tetangguh akibat masalah teknikal serta keselamatan pendaratan.

“Kita melahirkan keyakinan  perkhidmatan feri ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya dalam sektor pelancongan,” kata Zalina.