25 C
Kota Kinabalu
Monday, March 20, 2023

AIM tangguh kutipan pinjaman hingga akhir bulan: Lajim

KOTA KINABALU: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) semalam mengumumkan lanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman membabitkan 378,507 peminjam di seluruh negara selama sebulan hingga akhir bulan ini.

Pengerusinya, Datuk Lajim Ukin, berkata penangguhan itu selaras keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menerusi fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 29 Jun lalu.

Beliau berkata, berikutan penangguhan terbaru itu, peminjam atau Sahabat AIM menikmati pengecualian bayaran selama dua bulan disebabkan pelaksanaan PKP 3.0 yang bermula 1 Jun lalu.

Katanya, lanjutan penangguhan selama sebulan itu membabitkan bayaran balik pinjaman yang sepatutnya dikutip daripada Sahabat AIM berjumlah kira-kira RM384 juta.

“Sebelum ini, AIM memberi penangguhan bayaran balik selama empat bulan secara automatik kepada Sahabat AIM ketika PKP 1.0 pada tahun lalu.

“Ia kemudian disusuli penangguhan bersasar sehingga Oktober 2020 membabitkan seramai 12,568 Sahabat AIM dan yang mana masih terkesan akibat pandemik COVID-19 masih diberi penangguhan hingga kini,” katanya pada sidang media disiarkan Portal Berita Harian hari ini.

Selain penangguhan bayaran balik pinjaman, Lajim berkata, AIM turut menangguhkan semua mesyuarat pusat, perjumpaan pusat khas dan kutipan bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar, Simpanan Tabung Kumpulan, Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) serta Tabung Khairat Hutang.

Pada masa sama, beliau berkata, AIM juga menangguhkan pembentangan permohonan bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar, pengeluaran Tabung Kumpulan, tuntutan Tabung Khairat Hutang, penjadualan semula pembiayaan dan pembentangan untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman.

Bagaimanapun, katanya, AIM membenarkan kutipan balik bayaran Skim Pembiayaan Ikhtiar melalui kaedah bukan tunai atau e-bayaran.

Sementara itu, Lajim berkata, AIM turut memperkenalkan lapan Pakej Rangsangan Ekonomi AIM, selain menyediakan pelbagai insentif lain termasuk penangguhan tambahan, program kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan bengkel atau kursus secara digital untuk Sahabat AIM.

“Bagi memastikan kebajikan Sahabat AIM terbela, AIM juga memberi bantuan bekalan makanan asas yang setakat ini memberi manfaat kepada 20,700 keluarga menerusi Program Bakul Kasih AIM.

“AIM amat prihatin terhadap kesusahan dialami Sahabat AIM dan kita berusaha melaksanakan program pasaran produk Sahabat AIM secara dalam talian supaya dapat menjangkau pasaran lebih luas dan mereka dapat terus berniaga tanpa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, AIM juga sedang merangka pelan pemulihan pendapatan Sahabat AIM bagi membantu mereka bangkit semula daripada situasi sukar sepanjang PKP.

 

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="SabahNewsToday" twitter="@SabahNewstodayN" youtube="#" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333"]
Iklan

Latest Articles