PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen sebelum 1 Ogos depan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, perkara itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat jemaah Menteri Rabu depan.
“Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuklah persidangan Parlimen,” katanya.
“Sehubungan itu perdana menteri selaku Ketua Majlis Parlimen telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021.
“Perkara ini akan dimuktamadkan dalam mesyuarat jemaah menteri pada 7 Julai 2021,” kata Takiyuddin.
Pada 30 Jun, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan bersama mencadangkan kepada perdana menteri agar sidang khas Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
— BERNAMA