Ahli PBS digesa terus dekati komuniti, menangkan GRS – Dr Joachim

KENINGAU : Semua jentera Parti Bersatu Sabah (PBS) disaran agar bersatu hati sekali gus memastikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal tiba.

Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, beliau berharap semua ahli PBS di kawasan Dewan Undangan Negeri (Tulid) dapat memberi kerjasama penuh dengan mana-mana parti komponen dalam GRS.

“Kerjasama dalam GRS adalah yang terbaik dan meyakinkan. Konvensyen yang telah diadakan menunjukkan kesepakatan yang perlu diteruskan dan diterjemahkan apabila tiba masa untuk bergabung secara rasmi,” katanya.

Dr. Joachim menegaskan, PBS sentiasa komited menyokong keputusan pimpinan tertinggi GRS, termasuk calon yang akan diketengahkan di kawasan Tulid.

“Saya yakin kerusi Tulid akan kekal dalam genggaman GRS. Yang penting, kamu bekerja kuat. PBS are here to stay. Selagi tuntutan kita belum tertunai, kita akan teruskan perjuangan,” tegasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Bahagian PBS Tulid, Datuk Suman Yasambun atas jemputan dan kejayaan menganjurkan mesyuarat tersebut.