Agensi penguatkuasa membuat serbuan aktiviti perlombongan haram di Bukit Mintri Tawau

TAWAU : Beberapa agensi penguatkuasa kini menjalankan pemeriksaan secara terperinci berkaitan perlombongan milik syarikat Wullersdorf Resources di Bukit Mintri dan lombong Southsea Gold Sdn Bhd yang akan beroperasi di bukit Tundung, Balung, Tawau hari ini.

Menurut sumber, dipercayai beberapa kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan Sabah, Kastam Di Raja Malaysia serta Jabatan Tanah dan Jabatan Imigresen Malaysia telah memasuki tapak Wullersdorf Resources di Bukit Mintri, Tawau.

Sehingga kini, Southsea Gold Sdn Bhd masih belum menjalankan aktiviti perlombongan di Bukit Tundung berikutan masih menunggu kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) manakala Wullersdorf Resources sedang giat beroperasi melombong di Bukit Mintri walaupun tidak memiliki sebarang kebenaran melombong yang sah.

Pihak Sabah News Today sedang mendapatkan pengesahan daripada Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin.