Agensi kerajaan perlu peka, teliti laksana tanggungjawab sampaikan bantuan kepada rakyat – Mohd Razali

KOTA KINABALU: Agensi kerajaan diingatkan agar perlu serta teliti dalam melaksanakan segala tanggungjawabnya bagi memastikan pelbagai inisiatif bantuan dapat dinikmati rakyat di negeri ini.

Pengerusi SMART Sabah, Datuk Mohd Razali Razi berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan berlakunya keciciran penyaluran bantuan yang diperlukan rakyat.

Mohd Razali ketika berucap di majlis tersebut.

Katanya, ada kalanya pemohon tidak memahami cara untuk mendapatkan bantuan tersebut sekali gus memerlukan agensi terbabit untuk memberi penerangan secara lebih terperinci.

“Agensi terbabit perlu mengambil maklum tentang masalah ini, termasuk cuba mempermudahkan segala permohonan yang disalurkan kerajaan kepada mereka.

“Langkah ini penting bagi membolehkan rakyat dapat memperolehi bantuan ini mengikut tempoh masa yang ditetapkan sekali gus mereka dapat menikmati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan bantuan kepada 100 usahawan muda di Dewan Farabi Masjid Jamek, Likas sempena Program Outreach Ketua Menteri bersama NGO dan Usahawan Muda Sabah Tahun 2025, di sini semalam.

Mohd Razali berkata, beliau menerima aduan daripada pemohon berikutan ada kalangan pemohon kurang mendapat maklumat jelas lengkap berkaitan permohonan mereka.

Mohd Razali bersama peserta kursus di sini semalam.

“Masalah ini perlu diselesaikan segera, agensi terbabit perlu meneliti permasalahan agar segala permohonan rakyat dapat diproses mengikut tempoh masa yang ditetapkan serta menerima kelulusan dalam tempoh terdekat.

“Rakyat hanya ingin menerima kelulusan, agensi inilah bertanggungjawab untuk meneliti permohonan mereka agar tidak mengalami kelewatan untuk diproses,” jelas Mohd Razali.

Menurutnya, beliau mengesa agar agensi terbabit menghubungi pemohon untuk memberikan penjelasan secara terperinci tatacara bagaimana penyempurnaan bantuan sekali gus rakyat dapat menerima manfaatnya.

“Sebagai contoh, tahun ini kerajaan negeri mengumumkan pelbagai bantuan kepada rakyat termasuk bantuan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).

“Kita menganggarkan lebih 100,000 rakyat akan menerima manfaat ini selama 12 bulan. Oleh itu kita harap agar agensi terbabit dapat mempermudahkan segala urusan ini agar rakyat dapat menerima manfaatnya,” kata Mohd Razali.

Hadir sama, Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan Dan Rakyat (IKRAR), Azrul Ibrahim serta Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan.