Azis silap fakta, Warisan sendiri pilih lawan PH di Sabah – Razeef

KOTA KINABALU : Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin, berkata Pengarah Komunikasi Lee Chean Chung tidak perlu meminta Warisan memikirkan semula hasrat bertanding solo kerana pemimpin parti itu dari awal menunjukkan sikap angkuh dalam perundingan dan kerjasama.

“Pada pandangan saya Lee tidak perlu menyibuk isu parti lain ingin bekerjasama dengan siapa atau memilih untuk bertanding solo,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Lee menggesa Warisan memberikan penjelasan adakah parti itu ingin keluar kerajaan perpaduan selepas menyatakan keputusan bertanding solo pada PRN Sabah.

Ahli Parlimen Petaling Jaya itu juga meminta Warisan yang dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempertimbangkan semula keputusan demi kepentingan kestabilan dan kemajuan Sabah.

Susulan itu, Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, membidas Lee supaya melihat konteks politik di Malaysia timur, contohnya di Sarawak menyaksikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi kerajaan manakala Pakatan Harapan (PH) sebagai pembangkang.

Azis juga mendakwa, PH Sabah yang meninggalkan Warisan selepas episod Langkah Kinabalu.

Sementara itu, Razeef yang juga timbalan ketua penerangan PKR pusat mengingatkan Warisan tidak menuding jari pada PH seolah-olah gabungan tersebut meninggalkan mereka.

Beliau berkata, Warisan adalah pihak yang mula-mula meninggalkan PH ketika memilih untuk bertanding solo pada PRU15.

Katanya, malah Warisan mula bergerak solo selepas memilih untuk bertanding PRN Johor sehingga semua calonnya hilang deposit.

“Pada PRU15 Warisan begitu angkuh dengan menyatakan mereka boleh menang lebih kerusi tanpa PH kerana bagi mereka PH menumpang kekuatan Warisan semasa PRU14.

“Malah, dengan penuh yakin mereka meletakkan calon di Semenanjung. Namun, selepas meletakkan calon di lebih 50 kerusi Warisan jelas ditolak apabila hanya memenangi tiga kerusi Parlimen,” katanya.