‘Ada periksa latar belakang Azam sebelum dilantik?’

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, mempersoalkan sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pemeriksaan terperinci sebelum melantik Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Mac 2020.

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) itu berkata, persoalan terbabit penting kerana pelantikan Azam dibuat ketika Ahli Parlimen Pagoh berkenaan memegang jawatan Perdana Menteri kelapan.

“Azam dilantik oleh Yang Berhormat Pagoh (Muhyiddin) ketika menjadi Perdana Menteri kelapan. Saya menjangkakan pemeriksaan latar belakang dilakukan oleh pihak berkuasa berkaitan sebelum pelantikan dibuat.

“Adakah isu ini diketengahkan ketika itu?” soalnya menerusi perkongsian di Facebook, laporan Berita Harian hari ini.

Azam kini terpalit dengan kes pemilikan saham yang dibangkitkan pihak tertentu.

Bagaimanapun, pada sidang media berhubung isu terbabit baru-baru ini, Azam menyatakan kesediaan jika kes yang didakwa membabitkan dirinya dirujuk kepada Jawatankuasa Aduan SPRM selain menegaskan tidak menyembunyikan sebarang fakta.

Azalina turut mempersoalkan sama ada isu membabitkan Azam dibawa kepada Jawatankuasa Aduan SPRM sebelum atau ketika pelantikannya dibuat.

Tegasnya, Seksyen 15 Akta SPRM 2009 memperuntukkan sebarang pelantikan pegawai suruhanjaya itu dipantau oleh jawatankuasa berkenaan.

Justeru, Azalina mempersoalkan keperluan untuk mewujudkan lebih banyak jawatankuasa bebas bagi memantau SPRM.

“Berdasarkan Seksyen 14 Akta SPRM 2009, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong pada 15 Julai tahun lalu, dianggotai tiga Senator, dua Ahli Parlimen dan dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat.

“Secara prosedurnya, Jawatankuasa Khas ini menjalankan pengawasan terhadap Badan Penasihat SPRM termasuk dalam Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) di bawah Seksyen 13 Akta sama dan jelas sekali terdapat dua badan pemantau khas yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Rabu lalu, Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang, dalam sidang media khas menyatakan LPPR yang juga satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM mendapati, tiada perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

Katanya, panel lembaga itu memanggil Azam pada 24 November lalu bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan terbabit yang tular di media sosial kerana ia menimbulkan pandangan negatif terhadap suruhanjaya berkenaan.

Khamis lalu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam satu kenyataan berkata, di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat perlu menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.