Hampir RM1 juta perkasa industri udang Beaufort

BEAUFORT: Industri ternakan udang di Kampung Bintuka bakal diperkasakan menerusi cadangan menaik taraf bekalan elektrik bernilai hampir RM1 juta sebagai sebahagian usaha menjadikan Beaufort hab pengeluaran udang di Sabah.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata, sebuah transformer baharu diperlukan untuk menampung keperluan bekalan elektrik kepada kira-kira 100 hingga 150 kolam ternakan udang berdasarkan perbincangan bersama Sabah Electricity daerah Beaufort.

Katanya, pihaknya akan berusaha mendapatkan peruntukan kerajaan negeri selain meneliti dana kementerian bagi melaksanakan projek itu kerana kebanyakan pengusaha ketika ini masih bergantung kepada generator diesel yang meningkatkan kos operasi.

“Apabila bekalan elektrik lebih stabil, kos pengeluaran dapat dikurangkan dan pengusaha mampu menawarkan harga jualan yang lebih kompetitif kepada pengguna,” katanya selepas menghadiri program pelepasan 400,000 benih udang bernilai RM10,000 sumbangan MAFFI di Kampung Bintuka.

Menurut Ruslan, kementerian turut merancang menyediakan kemudahan penyimpanan sejuk beku bagi membolehkan lebihan hasil ternakan disimpan sebelum dipasarkan, selain membantu mengekalkan kesegaran dan meningkatkan nilai tambah produk melalui aktiviti pembungkusan.

Beliau berkata, terdapat antara enam hingga lapan pengusaha ternakan udang di Kampung Bintuka dengan sebahagian mengusahakan sehingga 10 kolam dan mampu menjana pendapatan melebihi RM2 juta setahun.

“Hasrat kita untuk menjadikan Beaufort sebagai hab pengeluaran udang di Sabah,” katanya sambil menegaskan infrastruktur lebih baik dan sokongan kerajaan mampu menarik lebih ramai usahawan, memperkukuh sekuriti makanan serta merancakkan ekonomi luar bandar.