KOTA KINABALU: Penduduk Kampung Numbak menggesa kerajaan negeri dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan segera terhadap isu penempatan haram yang didakwa berlarutan selama lebih dua dekad sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan penduduk asal.
Jurucakap penduduk, Rusnaidi, berkata pelbagai aduan telah dikemukakan kepada pihak berkuasa sejak beberapa tahun lalu, namun menurutnya sehingga kini masih belum ada tindakan penguatkuasaan secara bersepadu.
Beliau berkata aduan rasmi kepada DBKK dengan rujukan SR246790dikemukakan pada 2024, namun dakwanya tiada operasi menyeluruh dijalankan sehingga kini.
Menurutnya, kawasan yang pada asalnya melibatkan kira-kira 433 rumah selepas pemindahan penduduk Kampung Sabang pada 2003 kini didakwa berkembang kepada ribuan struktur yang dibina tanpa kawalan.
“Aduan turut dikemukakan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah dan kementerian berkenaan mengesahkan penerimaan aduan pada 10 Jun 2026,” katanya kepada Sabah News Today, semalam.
Katanya, aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) pula tidak dapat diproses kerana dimaklumkan berada di luar bidang kuasa sistem berkenaan.
Beliau turut mendakwa keadaan itu menyebabkan kawasan berkenaan dikaitkan dengan pelbagai masalah sosial dan jenayah termasuk penyalahgunaan dadah yang menimbulkan rasa tidak selamat kepada penduduk asal.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri, DBKK serta agensi berkaitan dapat menyelaras tindakan segera bagi menyelesaikan isu terbabit secara menyeluruh.
Sabah News Today sedang mendapatkan maklum balas rasmi daripada DBKK dan KKTP Sabah berhubung dakwaan yang dibangkitkan.
