TAWAU: Menteri Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyifatkan PEMADAM sebagai antara benteng utama dalam usaha membendung penyalahgunaan dadah yang masih menjadi ancaman kepada masyarakat.
Beliau berkata, daerah Tawau memerlukan pendekatan berterusan kerana kedudukannya berhampiran sempadan antarabangsa menyebabkan kawasan itu terdedah kepada kemasukan dadah, khususnya syabu.
Menurut beliau, pendidikan, kesedaran dan penglibatan komuniti perlu diperkasakan bagi mengelakkan lebih ramai belia terjebak dengan gejala tersebut.
“PEMADAM diwujudkan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya dadah serta tanggungjawab bersama dalam membanterasnya.
“Program komuniti seperti ini mampu mengajak masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat selain menjauhkan golongan muda daripada pengaruh dadah,” katanya.
Beliau turut memuji penganjur Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) kerana menyediakan pelbagai aktiviti yang mendekatkan masyarakat.
