UMS perkasa pendidikan kesihatan murid sekolah

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) terus memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan murid sekolah melalui pelbagai aktiviti pendidikan kesihatan dan imunisasi.

Program Kesihatan Sekolah yang berlangsung selama empat minggu itu melibatkan pelajar Diploma Kejururawatan FPSK di lima sekolah sekitar Pantai Barat Sabah, iaitu SK St. Francis Convent Kota Kinabalu, SJK (C) St. Peter Telipok, SRS Datuk Simon Fung, SK Pengiran Siti Hafsah dan SJK (C) Lok Yuk Menggatal.

Ketua Jabatan Kejururawatan FPSK, Dr. Deena Clare Thomas berkata program di bawah Modul Kejururawatan Kesihatan Komuniti itu memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan ilmu serta kemahiran melalui pengalaman lapangan bersama murid, guru dan pasukan kesihatan.

Beliau berkata aktiviti yang dijalankan merangkumi pendidikan kesihatan, pemeriksaan fizikal, saringan penglihatan menggunakan Rapid Assessment Visual Acuity Chart (RAVAC) serta membantu pelaksanaan imunisasi.