KUCHING: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) mengumumkan pelaburan RM30 juta bagi menubuhkan Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn Bhd menerusi kerjasama strategik bersama Yayasan Sarawak dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara KTC melalui Gardenia dan Sanjung Etika Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Yayasan Sarawak, bagi menubuhkan syarikat usaha sama itu.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, pelaburan berkenaan melibatkan pembinaan kilang pembuatan roti Gardenia di atas tanah seluas 7.56 ekar yang dijangka mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan kepada graduan dan tenaga kerja mahir tempatan.
Beliau berkata, sehingga kini KTC telah melabur RM300 juta di Sarawak dengan pulangan tahunan mencecah RM400 juta.
“Kami yakin pelaburan ini bukan sahaja mengukuhkan rantaian bekalan makanan, malah memperkasakan pembangunan modal insan serta ekonomi Sarawak,” katanya.
KTC turut merancang memperkenalkan produk khas Gardenia Sarawak Edition serta meneroka peluang perdagangan rentas sempadan melalui hab operasi di Sarawak.
