86 PATI dicekup dalam operasi imigresen di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seramai 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, semalam.

Operasi hasil aduan awam itu membabitkan seramai 24 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM Sabah.

Pengarah JIM Sabah dalam satu kenyataan berkata, seramai 125 individu diperiksa sepanjang operasi berkenaan sebelum 86 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Beliau berkata, JIM Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini.

Katanya, tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melindungi atau menggaji PATI.

“Tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen negara,” katanya.