Wanita maut, tujuh cedera Hilux terjunam gaung

KENINGAU: Seorang wanita maut manakala tujuh lagi cedera selepas sebuah Toyota Hilux terjunam ke dalam gaung di Jalan Bingkor, Chanang Hill, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.54 pagi itu, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan lapan mangsa.

“Seorang wanita tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba, manakala enam mangsa lain keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan anggota penyelamat.

“Seorang lagi mangsa wanita yang tercampak keluar dari kenderaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera terdiri daripada seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang mengalami sakit dada, seorang wanita berusia 40-an cedera ringan, seorang wanita berusia 23 tahun patah tangan serta seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang mengalami sakit bahu.

Turut cedera ialah tiga lagi mangsa yang identitinya masih belum diperoleh.

Katanya, semua mangsa yang cedera dibawa ke hospital menggunakan jentera Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.51 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” katanya.