LAHAD DATU: Sebuah power bank yang dipercayai milik seorang lelaki yang hilang ketika mencari sarang burung walit ditemukan pasukan penyelamat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Gua Tepadung, Segama, hari ini.
Bagaimanapun, mangsa yang dikenali sebagai Ismail Ibrahim, 61, masih gagal ditemui meskipun operasi memasuki hari kedua.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pasukan SAR berjaya tiba di lokasi terakhir mangsa dilaporkan ditinggalkan selepas memasuki lubang menegak pertama di kawasan gua berkenaan.
“Pasukan turut menemui sebuah power bank yang dipercayai milik mangsa, namun mangsa tidak berada di lokasi itu.
“Selain itu, satu lagi lubang baharu yang dipercayai belum pernah diterokai dikenal pasti untuk operasi pencarian seterusnya,” katanya.
Operasi ditangguhkan pada jam 4 petang dan akan disambung semula esok.
