KOTA KINABALU: Peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion disifatkan sebagai langkah positif yang mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaan hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said berkata, keputusan itu wajar dihargai kerana menunjukkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam menangani isu berkaitan hak Sabah secara berperingkat.
Menurut beliau, tambahan bayaran interim berkenaan mampu membantu kerajaan negeri mempercepat pelaksanaan pelbagai projek pembangunan termasuk bekalan air, jalan raya, pendidikan, kesihatan dan pembangunan luar bandar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas komitmen berterusan dalam memperjuangkan hak Sabah.
